Judul:
Kem TIMUR - Aku, Kita & Mereka
Pengarang:
Syalina Ahmad
Harga:
RM14.50
Penerbit:
PTS Professional Publishing Sdn Bhd
Kategori:
Novel Remaja
Tahun:
2010
Sinopsis:
"Kem TIMUR : Aku, Kita, Mereka" mengisahkan lima orang remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyertai Kem TIMUR sebagai persediaan menjadi fasilitator. Pada mulanya, mereka tidak mengenali satu sama lain. Pun begitu, takdir mendekatkan mereka melalui suatu proses yang agak sukar memandangkan masing-masing mempunyai perwatakan yang berbeza. Alya Sarah seorang yang sedikit kasar, Elise Lai penuh dengan misteri, Abu Bakar seorang yang keras hati, Aminah konservatif orangnya dan Syed Adli si anak orang kaya. Pelbagai cerita menarik dan lawak yang mereka hadapi sepanjang di Kem TIMUR.
*******
Masing-masing sudah kelaparan. Tidak kena pula sekiranya menjamah nasi tanpa ulam dan sambal belacan.
"Wah, menarik ini!" Burn pula yang teruja.
"Saya mahu rasa sedikitlah!" sambung Burn.
Mahu rasa lagi? Tadi selepas merasa sayur goreng Alya Sarah, habis dikeluarkan segala macam sindiran. Apa agaknya sindiran yang bakal Burn suarakan kali ini? Ulam terlampau pahit? Sambal terlampau masin? Daun terlampau hijau?
Pun begitu mungkin juga tidak. Maklumlah, yang menyediakan ulam-ulaman dan sambal belacan itu adalah ibu angkat Burn. Tidak mungkin Burn sanggup menyindir ibu angkat sendiri.
*******
"Yang kamu pergi makan kunyit hidup itu buat apa?" tegur salah seorang tetamu.
"Kunyit hidup? Saya sangkakan lobak merah," tersipu-sipu Burn dibuatnya.
Kali ini Alya Sarah tidak berseorangan. Kata-kata Burn itu disambut oleh hilaian tawa para tetamu. Malah ada yang ketawa terbahak-bahak, jauh lebih kuat daripada Alya Sarah.
"Siaplah kamu. Habislah berus gigi kamu nanti. Pasti kuning, sekuning-kuningnya!" sambung tetamu yang sama.
Terima kasih pakcik! Biar insan bernama 'Burn' ini merasai apa yang Alya Sarah rasa sebentar tadi.
Klik sini untuk maklumat pembelian